Thursday 9 May 2013

Teori Membaca



Teori Ahli Sains Kognitif
  • Sains kognitif ialah kajian yang berkaitan minda dan kecerdikan manusia. Kajian minda ini juga merangkumi bidang falsafah, psikologi, kepintaran, artificial, sains saraf, linguistik dan antropologi. Kesemua bidang ini digabungkan bagi memahami bagaimana manusia memperoleh kecerdikan menerusi fungsi otak.
Proses mengenal simbol
  • Pancaindera penglihatan adalah penting dalam proses mengenal huruf sebagai simbol ketika aktiviti membaca dijalankan Penulis mempunyai idea, maklumat, pesanan atau pengajaran yang ingin disampaikan menerusi simbol bertulis. Idea ini ditukarkan kepada bentuk simbol huruf atau dikenali sebagai proses mengenkod.
Proses Memecahkan kod
  • Proses memecah kod atau mendekod ini berlaku apabila pembaca dapat mengenal pasti jenis simbol yang dicatat pada permukaan bertulis, sama ada bentuk huruf, format penulisan, dan bahasa yang digunakan . Sekiranya pembaca tidak dapat memecah kod ini, maka aktiviti membaca akan terhenti dan pembaca tidak dapat meneruskan langkah seterusnya.
Langkah memahami
  • Pembaca tidak datang dengan daya kognitif atau pemikiran yang kosong. Hal ini demikian kerana pembaca mempunyai pelbagai latar belakang dan mempunyai pengalaman yang pelbagai dalam hidupnya, berlandaskan berapa lama seseorang itu telah hidup di muka bumi ini. Semakin jauh perjalanan seseorang manusia tempuhi, semakin luas llatar belakang dan pengalaman hidupnya. Manakala semakin tinggi asas pengetahuan atau kemahiran, semakin banyak interpretasi bahan yang dapat dilakukannya.
Hubungan Pengalaman Pembaca dengan Bahan
  • Setelah berjaya memecahkan kod atau mendekod permukaan bertulis, pembaca akan cuba untuk menghubungkan apa yang terdapat dalam pengalaman latarnya dengan bahan yang dibacanya. Semakin banyak pengalaman latar dipunyai pembaca, semakin luas makna yang akan diperolehi daripada bahan yang dibaca. Hasilnya, pembaca akan lebih memahami teks sekiranya kandungan teks tersebut banyak boleh dikaitkan dengan pengalaman latarnya.
Proses Transisi
  • Menurut Rosenblatt (1978), proses ini sebagai proses transisi antara pemikiran penulis dengan pemikiran pembaca. Dalam hal ini, penulis tidak menetapkan makna bagi bahan yang dihasilkannya, tetapi meletakkan tanggung jawab mencari makna kepada pembaca. Ianya terpulang kepada pembaca untuk membuat tafsiran terhadap bahan yang dibacanya.
Interaksi antara Penulis dan Pembaca
  • Pembaca yang aktif ialah pembaca yang dapat memberikan respons kepada bahan yang dihasilkan penulis berlandaskan keperluan pembaca membaca dengan pelbagai tujuan dan fungsi. Rosenblatt memperkenalkan konsep eferen dan estetik dalam membaca yang sangat penting bagi menentukan fungsi membaca.
Model dalam pengajaran membaca 

      a) Model Top-Down ( Atas ke Bawah )
  • Proses pengajaran bermula dengan teks dimana guru membahagi-bahagikan teks kepada murid.    Murid membaca teks, sama ada secara senyap atau membaca secara lantang. Guru meminta murid mengambil perhatian terhadap istilah-istilah penting dan istilah yang tidak difahami oleh murid. Murid mencari makna perkataan dan frasa sama ada berlandaskan hubung kait dalam petikan atau dalam kamus dengan mengarahkan murid mencari isi-isi penting dalam petikan. Pemahaman teks diteruskan dengan membincangkan setiap perenggan . Maksud keseluruhan petikan dikenalpasti dan guru perlu cuba mengaitkan petikan dengan pengalaman latar murid tentang tema utama, kandungan dan isu yang dibincangkan dalam petikan.
       b) Model Bottom-Up (Bawah ke Atas )
  • Pengajaran membaca bermula dengan guru membincangkan pengalaman murid tentang sesuatu isu yang dianggap penting atau terkini. Pengalaman murid dicungkil bagi menimbulkan minat mereka dalam perbincangan. Guru juga membincangkan beberapa istilah yang dianggap penting dan dapat difahami murid dengan jelas . Guru membincangkan isu-isu yang dianggap berkaitan topik perbincangan dengan lebih terperinci. Setelah perbincangan dilaksanakan dengan berkesan barulah guru membahagikan teks untuk bacaan. Murid membaca teks dan cuba mengaitkan kandungan teks dengan topik perbincangan yang telah dijalankan sebelum itu.



No comments:

Post a Comment