Friday 10 May 2013

Harap kita tak jadi macam ni..membaca pun tak betul...!

Pendekatan dalam Mengajar Membaca

Kaedah  Abjad/Huruf
Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a – z. Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.





Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan
Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.

Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan ”ayam”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”a” iaitu [ a ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ a+yam ]




Kaedah Fonik/Bunyi

Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.
Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ u ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, bu + ku terus disebut sebagai [ bu ] + [ ku ] dan seterusnya disebut sebagai [ buku ].

[ b ] + [ u ] = [ bu ]
[ k ] + [ u ] = [ ku ]
[ bu] + [ ku ] = [ buku ]




Kaedah Gabungan Bunyi – Kata
( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan )

Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron. Dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, bermula dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu proses membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory).

i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut.

ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.

iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf.

iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf.

v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.

vi. Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf
(terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar).

vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu

Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih/tubi berikut;

i. Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan).

ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).

Hubungan antara nama, bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.