Pemilihan bahan bacaan boleh di bahagikan kepada dua jenis
iaitu bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen.
Pemilihan Bahan Bacaan Kanak-kanak
1. Umur 0-6 tahun (peringkat prasekolah)
Kanak-kanak pada peringkat umur ini belum lagi mempunyai
fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan.
Pengetahuan mereka tentang kenyataan adalah sangat sederhana.
Buku-buku untuk peringkat umur ini harus mengandungi teks
yang pendek, penuh dengan aksi mudah yang menuju kepada kesimpulan yang
memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan dengan dunia sehariannya agar
dapat membantu mereka memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya.
2. Umur 6-8 tahun
Kanak-kanak yang berada pada peringkat umur ini mempunyai
sifat ingin tahu dan mereka juga sudah mula mengerti serba sedikit apa-apa yang
dibicarakan oleh orang dewasa. Kanak-kanak selalunya telah bersedia untuk
membaca jika
- tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan dalam buku, akhbar atau kertas;
- meluangkan masa “membaca” buku-buku bergambarnya;
- suka mendengar cerita;
- berminat dalam perkataan-perkataan dan leka untuk meningkatkan tatabahasanya; dan
- berpura-pura menulis dan membaca—cuba untuk menyalin huruf-huruf dan nombor.
Pada peringkat ini, mereka mungkin sudah boleh membaca buku
yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar juga masih sesuai untuk
mereka kerana gambar-gambar yang terdapat dalam buku boleh memberi gambaran
kepada teks. Mereka juga berminat dalam hal-hal yang berkaitan dengan binatang
dan alam semula jadi.
3. Umur 8-10 tahun
Pada peringkat ini, kanak-kanak mempunyai daya imaginasi
yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya. Oleh itu, untuk membantu
kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi, bahan bacaan yang
mengandungi cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai digunakan untuk
mereka.
4. Umur 10-12 tahun
Pada peringkat ini, mereka telah mempunyai sikap kritis
terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan
baharu. Perkembangan tatabahasanya juga berkembang dengan cepat dan
mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea-idea yang abstrak.
Mereka juga berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat daripada buku. Mereka
sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku mereka. Oleh itu,
pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu
menarik minat mereka.
Di samping itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan sudah mula
menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini, kanak-kanak perempuan lebih
berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang, fantasi, dan sejarah
manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah pengembaraan, cerita
lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi, saintifik dan teknikal.
Walaupun pembahagian peringkat kanak-kanak mengikut umur
tidak begitu jelas dan menimbulkan perbezaan, orang-orang dewasa yang terlibat
dengan kanak-kanak perlu tahu serba sedikit tentangnya. Ini kerana setiap
peringkat umur, kanak-kanak memerlukan bahan penerbitan yang berbeza dari segi
persembahan dan bentuk bahannya.
No comments:
Post a Comment